Monday, April 06, 2009

.:Seputar MAKSIM:.

Seminggu telah berlalu. Majlis gilang gemilang Malam Kemuncak Bulan Kesenian Islam masih lagi terngiang-ngiang di minda. Keindahan dekorasi dan kelainan yang tercipta malam itu menjadi sebutan teruna dara. Bisikan-bisikan halus masih membicarakan kejayaan yang telah mereka rayakan kelmarin hari. Pelbagai suka duka yang terlakar hari itu. Ada yang berada di puncak,tak kurang juga yang menangis hatinya mengenangkan ketidakrezekian nasib mereka malam itu. Segala keputusan adalah muktamad. Tiada surat menyurat, kirim-kiriman akan dilayan selepas keputusan diumumkan.
Sememangnya hasil perbincangan juri-juri profesional yang telah terlantik khas membuahkan hasil-hasil yang tak terdugakan. Tapi tiada siapa yang berani memprotesnya kerna apa yang telah termaktub sememangnya layak menerimanya. Banyak juga nama-nama yang tak pernah kita ketahui bakatnya terserlah malam itu.
Secara keseluruhan, majlis malam itu sememangnya gah dengan pelbaga gimik. Aturcara yang tak pernah terbayangkan dek sesiapapun. Plot-plot yang tersusun rapi sememangnya tak diduga jalan ceritanya kerna tak siapa sangka mereka mampu melakukannya sedemikian rupa. Rugi benarlah siapa yang tak hadir malam itu. Gelak tawa, tangisan keinsafan menyelubungi seluruh dewan itu. Suka duka disulam dikongsi bersama. Banyak ilmu dan pengajaran mampu dikutip bagi mereka yang serius mempelajari dan memahaminya.
Dimulakan dengan Bismillah, disudahi dengan Alhamdulillah. Begitulah kehidupan seharian kita. Setiap awalan pasti ada akhirannya. Bertemakan Islam dan Keredhaan: Keindahan dalam Keredhaan, Kultum iaitu Kuliah Tujuh Minit memulakan langkah pertama pada 25 Februari dan diakhiri dengan adu suara Nasyid pada 27 Mac, dua hari sebelum malam kemuncak.
Sejujurnya penulis agak sedih dengan penyertaan dari angkatan 2006 tahun ini. Orang yang anjurkannya bukan orang lain, teman-teman kita sendiri juga. Namun acara-acara tahun ini secara keseluruhan didominasi oleh adik-adik kita sendiri. Bahkan ada beberapa acara yang tak langsung kita menghantar wakilnya. Maka tersentuh juga hati penulis apabila memikirkannya. Apa-apapun tahniah diucapkan kepada semuanya yang berani menyahut cabaran untuk memakmurkan majlis-majls yang telah dilancarkan.
Bulan Kesenian Islam adalah sebuah program mega julung-julung kali diadakan yang menggabungkan unsur-unsur spiritual Biro Agama dan Kerohanian KUBI dan tenaga-tenaga kreatif daripada Biro Kesenian dan Kebudayaan KUBI. Pelbagai acara dianjurkan demi menyemai dan membuka pemikiran mahasiswa mahasiswi tentang betapa luasnya konsep kehidupan yang Islam syorkan. Islam tidak hanya meliputi sujud rukuk semata-mata, bahkan kesyumulan Islam mempengaruhi keseluruhan kehidupan seharian kita.
Allah SWT tak pernah melarang kita daripada menikmati hiburan selama tak pernah menyalahi hukum syariat yang telah ditetapkan. Bahkan Allah itu cantik dan menyukai sesuatu yang indah lagi cantik. Kesenian dalam Islam juga luas pengertiannya. Bukan hanya cuma yang terdengar di corong radio IKIM itu kita panggil kesenian Islam, bahkan dunia Islam sememangnya sejak azali dilimpah 1001 keindahan keagungan Tuhan. Dari seni hasil karya tangan sehinggakan seni tari suara,semuanya terangkum mengikut acuan yang telah Islam bentukkan melalui junjungan besar mulia, Nabi Muhammad SAW.
Bermula dengan pelbagai kerenah dan santapan rohani di perseteruan Kuliah Tujuh Minit (Kultum), Deklamasi Puisi membawa kita ke suatu dimensi yang tak pernah kita jejaki. Deruan adrenaline deras memompa ke seluruh jasad melalui ekspidisi Amazing Race. Seni dan kreativiti jelas tampak pada tangan-tangan menghasilkan mahakarya Khat dan sayembara cerpen peringkat universitas. Keayuan serta kesopanan terserlah daripada wajah-wajah fotogenik wanita-wanita melayu terakhir di atas pentas Busana Muslimah. Kekuatan ingatan dan kesucian hati sememangnya teruji pada acara hafazan. Kemahiran berfikir dan bertindak secara kreatif dan kritis tercabar di bawah terik matahari sewaktu Islamic Architecture dilangsungkan. Tak dilupakan juga kemahiran berkomunikasi dan mempromosikan diri menjadi taruhan sepanjang Expo Pameran dan Jualan dilangsungkan. Acara gilang gemilang diceriameriahkan dengan kehadiran tiga kumpulan tak ternama yang berentap merebut piala kebanggaan pertandingan Nasyid dua hari sebelum MAKSIM dilangsungkan.
Berikut adalah senarai acara-acara yang telah dimenangi oleh wakil-wakil sang pemberani angkatan yang amat kita banggakan dan sayangi selama ini:
Amazing Race:
Tempat Kedua: Al-Batani;
Ahli-ahlinya-Pareb,Naqi,Nazi,Syeikh&Khairul Hafiz

Busana Muslimah:
Kategori Evening Dress atau Majlis Keraian Cukur Jambul-
Haliza Syamimi

Kategori Riadah yang Tiada Terdedah-Naadira Faaiza Taj Mahal
Kategori Laraman Ibu Sarat Mengandung-Pn Elis Mohd Yusof
Hafazan:
Bahagian Lelaki; Tempat Kedua: Saudara Afif Agusalim (disampaikan khusus oleh Mrs Afif)
Bahagian Wanita; Tempat Kedua: Saudari Nur Fatihah
Islamic Architecture
Tempat Kedua diketuai Saudari Rafahiah, dibantu oleh Nurhafizah,Nadiah,Adi dan Hanif
Nasyid
JUARA; Alunan Murni yang dianggotai Saudara Awang, Radzi, Heikal, Nazi, Pareb, Afif, Reza, Yoyo dan Hanif.
Sekian sahaja daripada meja pengarang. Semoga segala apa-apa yang telah kita usahakan selama ini mendapat rahmat dan redha Allah. Akhir kalam, bersamalah kita bersatu membina empayar yang kukuh lagi gagah demi menghadapai gelora tsunami dugaan masa hadapan. Assalamualaikum~

4 comments:

  1. salam ziarah...sedapnya ayat-ayat yang tercoret di atas.terima kasih atas sokongan anda terhadap MAKSIM.smoga kita semua di bawah rahmat naungan-Nya..

    ReplyDelete
  2. mm,betul tu...even dah bace berkali-kali pun,rase macam nak baca lagi je.mm,nsb baikla buku medic xtulis mcmni,klu x..trabailaa patients sbb sume dc duk layan jiwa baca novaks mcm baca hery poter..hihi
    .:Semoga Islam makin bersinar&menerangi kegelapan qalbu dunia:.

    ReplyDelete
  3. sape yg wut artikle nih??terharu ak baca..woowoooo

    ReplyDelete
  4. mm,sri pun minat jugak dgn artikel nie..nad,adi xmoh join fanz club diz post?hahahahha

    ReplyDelete