Friday, December 24, 2010

Merry Christmas

Akidah adalah pembeza utama antara seorang mukmin dan bukan mukmin. Seseorang bagaimana banyak amalannya pun, tetapi jika akidahnya rosak, maka amalannya ditolak. Maka penting untuk kita mempertahankan akidah dan kesuciannya. Mengenai persoalan hukum ucapan sempenan hari raya agama lain--ada beberapa perkara yang wajar difahami---

1. Islam mengharamkan seseorang muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan--termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir. Firman Allah: (maksudnya)
“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (Surah al-Nahl, ayat 106).
2. Dalam masa yang sama - Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan muslim dan Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan muslim yang tidak memusuhi kita kerana agama kita. Firman Allah (maksudnya):
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)
3. Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Firman Allah: (maksudnya):
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Nisa, 86).
Inilah adab Islami yang tinggi. Ia merangkumi sesama muslim atau kepada bukan muslim. Sehingga Ibn ‘Abbas r.a menyebut:
“Jika Firaun berkata kepadaku ‘semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).
Maka sudah pasti mereka yang tidak sejahat Firaun dan tidak memusuhi Islam lebih layak untuk menerima ucapan balas.

4. Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah ataupun “congratulating” sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain –secara langsung atau tidak langsung- dan dalam masa yang sama ada juga nilai berbuat baik kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang hal ini. Bagi mereka yang melihat unsur mengiktiraf kekufuran, mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain, sebaliknya sekadar melakukan barr ataupun kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.

5. Tidak boleh dinafikan bahawa selain nas-nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas -- faktor keadaan, zaman dan persekitaran mempengaruhi para sarjana Islam dalam melihat kepada isu ini. Kitab-kitab yang ditulis pada persekitaran muslim begitu dominan dan tiada keperluan untuk melakukan ucapan tersebut kelihatan keras dan mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara, ramai juga sarjana terutama di zaman kini yang mempunyai persekitaran yang baru dan keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan Islam, fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan mengizinkannya dengan syarat-syarat tertentu.

6. Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h. (meninggal 728H) dalam karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h (meninggal 751H) dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini. Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredhai agama mereka. Fokus mereka adalah penyertaan seorang muslim kepada upacara perayaan bukan muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama silam yang mereka petik. Pandangan kedua imam agung itu diikuti oleh sesetengah para ulama terutama dari negara yang dominan penduduk muslim seperti Arab Saudi. Maka Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi mengharamkan ucapan selamat sempena perayaan agama lain.

7. Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa, ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

8. Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam).
Ertinya, beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain kepada penganutnya, bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.

9. Dengan ini saya berpendapat, boleh mengucapkan selamat hariraya kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah. Maka, memadai sekadar ‘selamat hariraya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya. Hal ini lebih dituntut jika semasa hariraya Islam mereka mengucapkannya.

10. Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hari raya agama lain. Sebabnya--perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hariraya--tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain.

11. Apa yang penting -- dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar - kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga benteng akidah kita. Bak kata pepatah - bagai menarik rambut dalam tepung. Tepung tak tumpah, rambut pun tak putus.

12. Salam Hari Natal, Selamat Tahun Baru dan selamat menikmati cuti di hujung minggu.

***Bacaan Tambahan: Haram pakai baju samai Santa Claus

Monday, December 13, 2010

Sunnah Puasa Hari ‘Asyura

Bersempena dengan kedatangan hari sembilan (tasu’a) dan sepuluh (‘asyura) Muharram ini penulis mengingatkan para pengunjung sekalian tentang kita semua disunatkan berpuasa pada hari-hari berkenaan. Sekurang-kurangnya berpuasalah pada sepuluh Muharram. Ini seperti yang ditunjukkan dalam hadis-hadis berikut::

عن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم صام يوم عاشوراء وأمر بصيامه. مُتَّفّقٌ عَلَيهِ
Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka).

عن أبي قتادة رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم سئل عن صيام يوم عاشوراء فقال: ((يكفر السنة الماضية)) رَوَاهُ مُسلِمٌ.
Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”. (Riwayat Muslim)

وعن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُما قال، قال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم: ((لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع)) رَوَاهُ مُسلِمٌ.
Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” (Riwayat. Muslim).

Semoga Allah merahmati kita semua dalam berlumba-lumba mendampingiNya.WHOA!

Monday, December 06, 2010

Demi Masa

Menjelang tahun baru, ramai yang menyambutnya. Samada hari pertama Januari ataupun Muharram, Islam tidak pernah menetapkan sambutan khusus buat tahun baru.

Tiada ibadat khas sempena tahun baru seperti solat tahun baru, atau puasa tahun baru. Ya, tidak menjadi masalah jika manusia ingin menyiapkan diri mereka menghadapi tahun baru. Mungkin mereka ingin menetapkkan sasaran, perancangan dan idaman.

Jika perancangan itu untuk kebaikan, seseorang akan memperolehi pahala. Begitulah sebaliknya. Jika tahun baru tidak datang pun, waktu dan hari tetap terus berputar dan tiada bezanya antara tahun lepas dan tahun ini. Ia terus berjalan seperti biasa sehingga sampai detik ia berhenti.

Umur setiap kita akan terus bertambah, samada menjelang tahun baru ataupun tidak. Jika tidak bertambah tahun, ia bertambah bulan. Jika tidak bertambah bulan, ia bertambah hari. Jika tidak bertambah hari, ia bertambah jam dan minit dan akan terus meningkat ke hari, bulan dan tahun.

Sementara perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan di persada masa.

Ya, hari dan waktu akan terus datang dan pergi. Jika jam, matahari dan bulan berhenti, masa tetap berjalan. Tiada makhluk yang dapat menghalang kedatangan waktu dan hari. Demikian tiada siapa pun yang dapat menahan ia pergi. Samada manusia menunggu untuk menyambut kedatangannya atau tidak mempedulikannya, ia tetap menjelang.

Demikian juga, waktu dan hari akan terus pergi sekalipun kita menyayanginya dan mengharapkan ia terus tunggu. Entah berapa banyak diari yang dicatatkan, entah berapa banyak sanjungan yang diberikan, entah berapa banyak kejian yang dilontarkan, dengan berlalunya waktu, ia menjadi sejarah dan kenangan.

Maka, entah berapa ramai manusia yang dipuji semalamnya, dilupai pada hari ini. Entah berapa ramai yang diperlekehkan semalam, disanjung pula pada hari ini. Berapa ramai mereka yang bongkak dan sombong semalam, hari ini berbicara bagaikan pengemis yang merintih simpati.

Demikian juga, entah berapa ramai yang diketepikan semalam, mungkin berkuasa atau diangkat pada hari ini. Wajah-wajah yang dahulunya comel dan cantik boleh berubah menjadi kusam dan masam. Tempat yang hening dan indah juga boleh bertukar menjadi sungul dan usang. Pemuda yang gagah akan bertukar menjadi orang tua yang mengah. Gadis yang cantek akan bertukar menjadi nenek. Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban ciptaan Tuhan.

Ramai orang lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Kita diciptakan dan diletakkan dalam perjalanan makhluk masa ini. Masa itu tiada siapa yang dapat menongkah pusingannya. Ia merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada kepada tiada. Tiada siapa yang mampu menghalangnya melainkan Tuhan yang menciptakannya. Masa mengubah kita. Mengubah anggapan manusia sesama mereka. Ia mengubah perasaan dan rasa. Ia mengubah benci dan cinta. Ia mengubah gembira dan duka.

Namun waktu tidak boleh mengubah hakikat sesuatu di sisi Allah. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia walaupun manusia menghinanya. Insan yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta. Seorang raja atau sultan yang meraikan harijadi setiap kali menjelang musimnya dengan menganugerahkan darjat dan pangkat kepada orang lain, belum tentu dia sendiri mendapat darjat dan pangkat yang tinggi di sisi Allah.

Mungkin belanja hari jadinya itu akan menjadi beban kepadanya pada hari akhirat kelak; dari mana wang itu datang dan bagaimana ia digunakan?! Seorang miskin di ceruk yang terpencil, mungkin tiada siapa yang mengambil tahu hari lahirnya dan tiada pula anugerah atau hadiah yang diperolehi.

Namun, itu bukan tanda kehinaan buatnya. Bahkan jika dia hamba Allah yang baik, umurnya dan waktunya dilimpahi pahala dan keberkatan. Ya, waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar sang raja, juga mengejar si miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian masing-masing. Pabila sampai ke detik penghabisan, kita bertemu Tuhan. Ketika itu yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan insan yang rugi.

Untuk itu Allah bersumpah dengan masa dan mengingatkan kita, siapa yang untung dan siapa yang rugi. Firman Allah dalam Surah al-‘Asr: (maksudnya)
“Demi Masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”. (Surah al-‘Asr 1-3).
Demikian Tuhan Pencipta masa memutuskan bahawa insan yang hidup dalam sistem masa ini akan kerugian. Apa yang dapat menyelamatkan mereka adalah apabila mereka penuhi ciri-ciri yang disebutkan; iman, amal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

Ertinya, hidup bukan sekadar beriman dan beramal, tetapi hendaklah memperjuangkan tuntutan iman dan amal dengan melakukan peringatan, dakwah, seruan kepada kebenaran dan kesabaran. Kebenaran yang diajar oleh Allah dan rasulNya dan sabar dalam membahterai perjuangan kebenaran itu.

Jika sebahagian pengkaji cuba memahami dan membuktikan apa yang disebut oleh Albert Einstein dan Newton tentang teori relatif masa (relativity of time), Islam pula telah lama memperkatakan tentang keberkatan umur dan waktu. Mereka yang meterialis barangkali tidak dapat berfikir bagaimana mungkin masa seseorang insan dengan seorang yang lain berbeza. Bagaimana mungkin sejam si A lebih panjang daripada sejam si B?. Mereka kehairanan dan pemikiran materialistik memang tidak dapat menerima hal ini.

Dalam Islam ada istilah berkat atau barakah. Al-Quran berulang-ulang menyebut tentang keberkatan. 

Antaranya firman : (maksudnya)
“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi”. (Surah al-A’raf, 96).
Allah perintahkan Nabi Nuh: (maksudnya)
“Dan berdoalah: Wahai Tuhanku, Turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat”. (Surah al-Mukminun 29).
Kata Nabi Isa: (maksudnya)
“Allah menjadikan aku ini diberkati di mana sahaja aku berada..” (Surah Maryam, 31).
Apakah itu berkat atau barakah dalam bahasa Arab? Asal perkataan barakah ialah bertambah atau berkembang. Juga boleh bermaksud berkekalan. Al-Asfahani (meninggal 425H) menyatakan ia bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam).

Maka barakah adalah penambahan atau kelangsung kebaikan atau kurniaan Allah kepada sesuatu. Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan. Maka sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati. Insan-insan yang berkhidmat untuk kemaslahatan manusia, Allah berkati umur mereka. Hasil yang dikeluarkan dan jasa ditaburkan kadang-kala tidak dapat dilakukan oleh orang lain walaupun jika berikan masa yang berganda.

Kita tidak boleh mengubah masa, tetapi kita boleh menjadi masa itu berkat dengan doa dan usaha-usaha yang ikhlas dan baik. Untuk merentasi kehidupan dan belantara masa banyak perkara kita tidak dapat duga. Kita mungkin merancang dengan perancangan yang hebat, tapi siapa yang dapat menjamin ia akan terjadi seperti yang dirancangkan.

Berapa banyak rancangan buruk orang kepada kita, Allah tukar ia menjadi keuntungan dan kebaikan. Betapa banyak rancangan yang hebat, Allah tukar ia menjadi kerdil.

Dunia ini bukan kita sahaja yang hidup. Berbagai rupa dugaan dan kerenah manusia yang lain. Penulis yang dhaif ini sejak sekian lamanya amat tersentuh dengan doa Nabi s.a.w
“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani).
Menjelang tahu baru, moga Allah memberkati umur kita dan membantu segala urusan kita. Kita tidak boleh menongkah masa. Kita tidak boleh menghalang putaran masa. Kita tidak boleh menghentikan masa. Kita tidak boleh keluar dari sistem masa. Kita tidak boleh mengembalikan masa. Namun kita boleh memohon kepada Allah agar masa kita diberkati.